Monday 10 June 2013

Majlis Penyerahan Bantuan KWAMP dan Tilam & Bantal 1Malaysia 2013

Pada 3 Mei 2013, Satu Majlis Penyerahan Bantuan KWAMP dan Tilam dan Bantal 1Malaysia telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen P209 Julau iaitu Dato’ Joseph Salang ak Gandum di Dewan Besar SK Nanga Meluan.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh para ibu bapa di beberapa buah panjang di sekitar Nanga Meluan.
Aktiviti yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu menyaksikan sebanyak 180 unit tilam dan 180 unit bantal 1Malaysia telah diagihkan untuk kegunaan pelajar-pelajar asrama SK Nanga Meluan. Kesemua bantuan tersebut berjumlah RM40,471.20.
Dato' Joseph Salang menyerah bantal sebagai tanda
simbolik kepada salah seorang pelajar
Dalam majlis itu juga, Dato Joseph Salang turut mengagihkan bantuan KWAMP bernilai RM200 bagi setiap orang murid yang layak. Dato Joseph Salang telah mengingatkan para ibu bapa supaya menggunakan bantuan-bantuan tersebut sebaik mungkin untuk perkembangan pendidikan anak-anak. Kerajaan juga menurut beliau sedang dan akan berusaha untuk membantu meningkatkan pendidikan dalam kalangan pelajar khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar. Pelbagai bantuan telah dan akan disalurkan oleh kerajaan melalui pihak sekolah seperti bantuan susu 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, bantuan E-Kasih, Skim Pinjaman Buku Teks, KWAMP dan pelbagai lagi kemudahan untuk memajukan pendidikan dalam kalangan pelajar luar bandar. Beliau juga menasihati para ibu bapa agar mengambil berat tentang pendidikan anak-anak. Ibu bapa juga harus bersedia untuk bekerjasama dengan pihak sekolah agar segala program yang dijalankan oleh pihak sekolah berjalan dengan lancar.
Di samping itu, Guru Besar SK Nanga Meluan, Encik Thomas Legak ak Benjamin Legak mengucapkan penghargaan kepada para ibu bapa yang telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak sekolah. Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sk Nanga Meluan, pelbagai program telah berjaya dijalankan sepanjang tempoh persekolahan 2013. Kejayaan tersebut hasil kerjasama yang tidak berbelah bagi para ibu bapa dan pemimpin masyarakat di sekitar Nanga Meluan kepada pihak sekolah.

Majlis tersebut berakhir sekitar pukul 1.00 tengah hari.

No comments:

Post a Comment