Monday, 19 August 2013

Program Klinik UPSR peringkat sekolah 2013

Pada 11 Ogos hingga 16 Ogos 2013 telah dijalankan Program Klinik UPSR peringkat Sk Nanga Meluan, Julau. program ini melibatkan murid tahun 6 seramai 31 orang murid Sk Nanga Meluan, yang terdiri daripada 17 orang lelaki dan 14 orang perempuan.

Program ini telah diadakan di Sk Nanga Meluan, Julau, Sarawak.
Tujuan program ini diadakan ialah untuk memberi bimbingan kepada pelajar-pelajar bagaimana untuk mendapat kejayaan yang cemerlang dalam UPSR. Berbagai tips dan panduan untuk menjawab soalan-soalan telah disampaikan oleh fasilitator-fasilitator jemputan serta guru-guru yang terlibat kepada murid-murid tahun 6. Tips yang telah diberikan ialah untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Aktiviti-aktiviti dijalankan mengikut hari dan subjek yang telah ditetapkan mengikut jadual yang diagihkan. guru-guru subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains telah memberi komitmen  yang tinggi bagi menjayakan program ini berlangsung dengan jayanya.

Program yang diadakan selama 6 hari ini banyak membantu dan meyakinkan peserta untuk menghadapi peperiksaan yang akan diduduki pada bulan September  ini. Kita doakan semoga mereka akan mendapat kejayaan yang cemerlang dan secara tidak langsung dapat membantu keluarga mereka dari putaran ganas kemiskinan apabila mereka berjaya nanti.



Foto-foto sekitar Program Klinik UPSR dijalankan:













 Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.




Tuesday, 30 July 2013

Yang Patah Tumbuh Hilang Berganti


Pada tarikh 26 Julai 2013 telah diadakan Majilis Perpisahan dan Meraikan Kedatangan Guru Baru
yang bertempat di Wawasan Inn, Sarikei. Majlis bermula seawal jam 7.00 malam dan dihadiri semua warga SK Nangan Meluan, Julau.

Majlis makan malam tersebut dimulakan dengan kata-kata aluan oleh  Guru Besar SK. Nanga Meluan iaitu Encik Thomas Legak Anak Benjamin Legak.

Seterusnya, ucapan oleh Cikgu Osman bin Anuar di mana beliau bakal berpindah dan meninggalkan SK Nanga Meluan, Julau ke SK Kampung Balan, Dalat. Beliau merupakan seorang guru yang amat berjasa dan telah memberi sepenuh komitmennya di dalam kerjayanya sebagai seorang guru.
Oleh itu, pemergian beliau amatlah dirasai oleh warga-warga SK Nanga Meluan.



Guru Besar SK. Nanga Meluan memberikan ucapannya.
Guru-guru yang memeriahkan majlis

Pelbagai juadah yang terhidang untuk santapan para hadirin

Ibarat pepatah Melayu yang mengatakan Yang patah hilang berganti, tapi tidak akan sama dengan yang patah, dan hilang itu pasti berganti yang lain. Tetapi yang lain itu tidak semestinya sama dengan yang hilang.
Cikgu Osman terpaksa berpindah ke sekolah lain kerana kekangan-kekangan yang memaksa beliau untuk berada berdekatan dengan keluarga tercinta. Semoga Cikgu Osman bin Anuar akan meneruskan perjuangan murninya di SK Bayan, Dalat dalam mendidik anak bangsanya.

Cikgu Osman diberi penghormatan terakhir pada majlis perpisahan tersebut

Kepada Cikgu Osman bin Anuar, jasamu tetap kami kenang selamanya.

Hujan turun badan pun basah,
Batang galah haluan perahu,
Niat di hati tidak mahu berpisah,
Kehendak Allah siapa yang tahu.

Yang diraikan jua pada malam tersebut ialah guru-guru baru ke SK.Nanga Meluan.

 - Cikgu/Encik Khalid Sapian
- Melapor diri pada bulan Julai 2013
- Bertukar dari SK Long Loyang Tinjar, Miri ke SK Nanga Meluan, Julau.
Major course : Pendidikan Jasmani


- Cikgu/Puan Sharifah Aisyaton Syed Ghazali
- Melapor diri pada bulan Julai 2013
- Merupakan penempatan pertama beliau di SK Nanga Meluan.
- Menamatkan pengajian di IPGM Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu
- Merupakan anak jati Terengganu
- Major course : Pengajian Sosial

Semoga dengan kedatangan guru-guru baru ke SK. Nanga Meluan kesini dapat memeriahkan dan merancakkan lagi prestasi sekolah ini dari segi akademik, mahupun kokurikulum.

THE CREW OF SK NANGA MELUAN.
-photoshoot after Dinner-




Tuesday, 23 July 2013

Laporan Aktivti 1Murid 1Sukan



Program 1M 1S telah dijalankan pada 13.7.2013 di Sk Nanga Meluan. Program bermula sekitar jam 7. 30 pagi. Tujuan program ini diadakan untuk mendedahkan tentang kepentingan sukan kepada murid serta menambahkan ilmu pengetahuan tentang sukan/permainan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang hari. Guru, AKP dan murid-murid telah dibahagikan mengikut rumah sukan masing-masing. Berikut merupakan aktiviti yang telah diadakan :


1. Senamrobik
2. Nyanyian 1M 1S 
3. Tayangan video Olimpik
4. Pertandingan melukis logo Olimpik antara rumah sukan
5. Ceramah penubuhan AJK Kelab 
6. Bengkel Penubuhan AJK Kelab 
7. Demonstrasi Jenis-Jenis Permainan mengikut stesen 


Semua aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar. Penglibatan guru,AKP dan murid-murid amat memberangsangkan. Sebelum program berakhir ulasan dibuat oleh pengelola. Diharapkan program ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kesihatan warga sekolah.

Tuesday, 9 July 2013

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah.


Sambutan hari guru pada 16 Mei setiap tahun merupakan satu majlis bagi memperingati dan menghargai jasa golongan pendidik kepada pembangunan negara khususnya dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi. Guru juga berperanan membentuk keseimbangan rohani, emosi dan intelek anak-anak supaya mereka dapat membesar menjadi insan yang berguna kepada keluarga,  masyarakat dan negara.

Walaupun disambut agak lewat, majlis sambutan hari guru peringkat sekolah SK Nanga Meluan tetap disambut dengan meriah. Sambutan yang disambut pada 3 Julai 2013 di Dewan Besar telah berlangsung dengan jayanya.
Persembahan Murid
Ucapan YDP PIBG, En. Nabau Laja
Persembahan Nyanyian Guru
Seawal jam 0730 pagi, semua guru, AKP dan murid sudah berkumpul di Dewan Besar Nanga Meluan. Pada pukul 0800 pagi, ketibaan tetamu jemputan iaitu Pegawai Waran II (B) Encik Nabau ak Laja iaitu selaku YDP PIBG SK Nanga Meluan, bersama dua orang Exco PIBG iaitu Tuai Rumah Engkulau (Rh. Engkulau, Wong Besi Api) dan Encik Enting Ak Usit (Rh Lunggek, Bilat).
Majlis sambutan bermula dengan nyanyian lagu Negaraku. Disusuli dengan ucapan perasmian oleh Guru Besar, ucapan YDP PIBG dan ucapan dari Ketua Murid. Majlis pada pagi itu juga diserikan dengan beberapa persembahan murid seperti deklamasi sajak, persembahan tarian dan nyanyian serta persembahan lakonan. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Kami Guru Malaysia, bacaan ikrar guru. Simbolik sambutan pada pagi itu ialah acara memotong Kek Hari Guru. Selepas itu, sambutan diteruskan dengan acara Pertukaran Hadiah.
Anugerah Khas Hari Guru 2013
Upacara Memotong Kek
Majlis sambutan pada tahun ini menyaksikan penyampaian anugerah khas bagi guru-guru yang telah banyak berjasa kepada sekolah. Anugerah tersebut ialah Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Sukan, Anugerah Guru Akademik. Anugerah ini diharap dapat memberi inspirasi kepada guru-guru bersesuaian dengan tema  Guru Malaysia: 1Agenda 1Aspirasi.
Acara Pertukaran Hadiah
Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan sesi bergambar dan jamuan ringan. Pada pukul 1200 tengah hari majlis sambutan berhenti rehat sebelum disambung semula pada pukul 0230 petang untuk acara sukaneka.
Sukaneka: Membina Menara Tin
Acara sukaneka pada petang tersebut begitu meriah dengan pelbagai acara yang menarik telah dirancang yang melibatkan penyertaan semua guru, AKP dan murid. Antaranya ialah Memancing Botol, Jaringan Gol, Bola & Kayu, Membina Menara Tin, Lari Kepit Tin dan Batak Lampung.
Ternyata keseronokan dan kemeriahan acara sukaneka tersebut telah memupuk semangat kesukanan dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan semua warga SK Nanga Meluan. Acara sukaneka tersebut tamat sekitar jam 6.30 petang iaitu sebaik sahaja tamat majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.
Sekian, Selamat Hari Guru. Gayu Guru Gerai Nyamai 2013.

Monday, 8 July 2013

Guru Maut Ditembak depan Sekolah


BACHOK 8 Julai - Seorang guru penolong kanan maut ditembak sebanyak tiga das dari jarak dekat ketika baru keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor dekat sini hari ini, yang dipercayai kerana masalah hutang.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang, mangsa, Hashim Mat Zain, 43, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Dosoh, dekat sini selepas selesai menjalankan tugas di sekolah tersebut.
Bagaimanapun ketika tiba di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari pintu pagar sekolah, mangsa yang juga guru penolong kanan hal ehwal murid sekolah itu ditembak dari jarak dekat dipercayai oleh seorang lelaki bermotosikal.

Wednesday, 3 July 2013

Bulan Sains & Matematik 2013


Panitia Sains & Panitia Matematik SK Nanga Meluan sekali lagi bergabung tenaga untuk menganjurkan Bulan Matematik & Sains 2013 yang telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Julai 2013 yang lalu. Majlis perasmian oleh Guru Besar SK Nanga Meluan, Encik Thomas Legak telah menarik minat murid-murid kerana gimik pelancarannya yang kreatif. Sekaligus membuatkan para murid begitu teruja untuk menyertai pelbagai acara yang telah dirancang sepanjang Bulan Sains & Matematik berlangsung.
Antara aktivti dan program yang telah dirancang sepanjang Bulan Sains & Matematik ialah Menyemai Biji Benih Kacang Hijau, Kira Cepat,  Kreatif Sifir, Rotor Copter, Batak Lampung, Pertandingan Mencipta Payung Terjun, Membina Menara, Bola dan Kayu, Cari dan Gabung, Pancing Tin Jawab Soalan dan Kuiz Sains & Matematik.
Menurut Pengerusi Bulan Sains & Matematik, Encik Raymond David Mawi, pelbagai program menarik yang telah dirancang itu bertujuan untuk menarik minat murid dalam bidang Sains & Matematik. Sekaligus memupuk minat murid untuk mempelajari kedua-dua subjek tersebut supaya pencapaian murid-murid dalam subjek Sains & Matematik dapat dipertingkatkan.
Moga dengan pelancaran Bulan Sains & Matematik ini dapat membantu pihak sekolah untuk meningkatkan pencapaian murid-murid dalam peperiksaan khususnya dalam UPSR yang bakal menjelma. Sekian.

*p/s - gambar aktiviti akan dimasukkan kemudian.

Sunday, 30 June 2013

Aspek Penambahbaikan SPPBS 2013

Buat masa ini, Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) masih lagi belum dapat diakses kerana pihak KPM sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan untuk memantapkan lagi sistem ini. Antara aspek-aspek yang sedang ditambahbaik ialah:

1. Paparan kemasukan prestasi murid Mengikut Eviden - Senarai semua murid dan kemasukan prestasi di dalam satu paparan sahaja (wujudkan marksheet).
2. Guru Tingkatan (sekolah menengah) yang berdaftar dengan APDM akan terus mendaftar murid sekali sahaja ke dalam menu Non Akademik.
3. Penggunaan warna yang kontra bagi tanda “√” sebelum guru memasukkan prestasi dengan warna selepas kemasukan prestasi dilaksanakan.
4. Mewujudkan butang KEMASKINI dan BATAL pada menu Pengetua/Guru Besar/Penolong Kanan bagi tujuan pengemaskinian atau pembatalan prestasi murid.
5. Data pada menu Statistik yang boleh dimuat turun dan dieksport ke dalam format Excel.
6. Fungsi Daftar Guru Kelas pada Menu SU sekolah rendah untuk urusan pemantauan dan cetakan pelaporan oleh Guru Kelas.

Moga dengan proses penambahbaikan ini akan memudahkan urusan key-in online  para guru  khususnya guru Tahap 1 SK Nanga Meluan agar menjadi lebih mudah dan menyenangkan.

Thursday, 20 June 2013

Kejohanan Balapan & Padang Pembangunan Zon Julau 2013

Kejohanan Balapan dan Padang Pembangunan 10 & 11 Tahun ke Bawah bagi Zon Julau 2013 telah diadakan di Kompleks Sukan Pakan pada 19 hingga 20 Jun 2013. Kejohanan pada kali ini telah dianjurkan oleh SK Ulu Sungai Naman.
Kontijen Meluan
Kejohanan ini disertai oleh 9 buah sekolah Zon Julau iaitu SK Nanga Meluan, SK Nanga Luau, SK Nanga Merurun, SK Nanga Kelangas, SK St. Alphonsus, SJK Yuk Kung, SK Nanga Lasi, SK Ulu Sungai Naman dan SK Nanga Serau.
Kontijen Meluan yang diketuai Pengurus Pasukan, Encik Juna Jelani terdiri daripada 19 orang murid, 4 orang pegawai pengiring dan 4 orang pegawai yang menjadi urusetia kejohanan.
Pada kejohanan kali ini, SK Nanga Meluan selaku juara bertahan sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan untuk tiga tahun berturut-turut. Naib Juara pula disandang oleh SK Nanga Luau manakala tempat ketiga ialah SK St. Alphonsus.
Taklimat oleh Pengurus Pasukan
Agatha, Peserta terbaik
Perempuan 10TKB
Kejohanan kali ini juga telah menyaksikan 12 orang atlet dari SK Nanga Meluan dipilih untuk mewakili Zon Julau ke pertandingan Peringkat Daerah Julau. Lebih membanggakan lagi seorang atlet daripada SK Nanga Meluan dipilih sebagai olahragawati bagi peringkat umur 10TKB iaitu adik Agatha ak Miskin.
Secara keseluruhannya pencapaian SK Nanga Meluan masih ditahap yang sangat memuaskan walaupun dalam beberapa acara terlepas sasaran pingat emas. Namun, SK Nanga Meluan masih lagi berjaya mengutip 13 pingat emas keseluruhan iaitu bertambah dua butir pingat emas berbanding 11 emas yang dikutip pada tahun lepas. Pada kejohanan kali ini juga SK Nanga Meluan berjaya menyapu 9 pingat perak dan 2 pingat gangsa dan mengumpul 173 mata keseluruhan.
Desiree Mayang, Johan Lontar
Peluru 11TKB
Dengan kejayaan ini, pihak sekolah mengucapkan ribuaan terima kasih kepada semua guru dan kakitangan sekolah yang telah menyumbang kepada kejayaan ini khususnya kepada jurulatih olahraga SK Nanga Meluan, Dato’ Encik Dominic Chungat dan Encik Juna Jelani. Terima kasih dan tahniah juga kepada Puan Penny Kristy dan Puan Christy Betty yang telah membimbing peserta Bintang Kecil sekolah ke Pertandingan Bintang Kecil bagi Zon Julau yang turut diadakan semasa kejohanan ini. Tidak lupa juga kepada guru-guru dan AKP yang sanggup datang ke Kompleks Sukan untuk memberi sokongan kepada kontijen sekolah.
Sekian, Meluan terbang tinggi lagi!


Monday, 10 June 2013

Majlis Makan Malam PIBG 2013

Pada 10 Mei 2013 yang lalu, SK Nanga Meluan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah mengadakan Majlis Makan Malam PIBG bagi tujuan mengutip dana untuk tabung PIBG sekolah. Majlis itu telah diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen P209 Julau, Dato Joseph Salang ak Gandum, KPD Julau DSP Bidol Noyeng, Pengetua SMK Julau Encik Chritopher Kelebit, Wakil PPD Julau, Tuai-tuai rumah panjang dan para ibu bapa.
Majlis itu telah dihadiri oleh sekitar 400 orang tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar Nanga Meluan.
Pelbagai acara telah diatur pada malam tersebut. Antaranya ialah gerai jualan, acara memotong kek, sampul istimewa, cabutan tiket bertuah, suara emas, lagu dan ngajat sponsor, dan banyak lagi. Malah, pada sebelah petangnya telahpun diadakan pelbagai acara sukaneka.
Majlis Makan Malam PIBG pada malam tersebut boleh dikatakan sebagai sangat berjaya kerana berjaya mengutip dana sebanyak RM23, 548.60. Dana tersebut akan disalurkan ke dalam tabung PIBG SK Nanga Meluan. Dana tersebut akan membantu pihak sekolah untuk mengadakan dan membiayai pelbagai program pembangunan untuk para pelajar.
Kejayaan Majlis makan malam PIBG tersebut merupakan satu petanda bahawa para ibu bapa di Nanga Meluan sentiasa memberikan sokongan kepada pihak sekolah untuk membantu meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pendidikan. Sokongan daripada pemimpin masyarakat (tuai rumah) juga sangat baik. Kejayaan ini merupakan satu langkah ke arah memperkasakan PIBG SK Nanga Meluan sebagai salah satu badan yang aktif dalam membantu pendidikan anak-anak di Meluan.

Akhir sekali, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada malam tersebut. Sekian, terima kasih.



Majlis Penyerahan Bantuan KWAMP dan Tilam & Bantal 1Malaysia 2013

Pada 3 Mei 2013, Satu Majlis Penyerahan Bantuan KWAMP dan Tilam dan Bantal 1Malaysia telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen P209 Julau iaitu Dato’ Joseph Salang ak Gandum di Dewan Besar SK Nanga Meluan.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh para ibu bapa di beberapa buah panjang di sekitar Nanga Meluan.
Aktiviti yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu menyaksikan sebanyak 180 unit tilam dan 180 unit bantal 1Malaysia telah diagihkan untuk kegunaan pelajar-pelajar asrama SK Nanga Meluan. Kesemua bantuan tersebut berjumlah RM40,471.20.
Dato' Joseph Salang menyerah bantal sebagai tanda
simbolik kepada salah seorang pelajar
Dalam majlis itu juga, Dato Joseph Salang turut mengagihkan bantuan KWAMP bernilai RM200 bagi setiap orang murid yang layak. Dato Joseph Salang telah mengingatkan para ibu bapa supaya menggunakan bantuan-bantuan tersebut sebaik mungkin untuk perkembangan pendidikan anak-anak. Kerajaan juga menurut beliau sedang dan akan berusaha untuk membantu meningkatkan pendidikan dalam kalangan pelajar khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar. Pelbagai bantuan telah dan akan disalurkan oleh kerajaan melalui pihak sekolah seperti bantuan susu 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, bantuan E-Kasih, Skim Pinjaman Buku Teks, KWAMP dan pelbagai lagi kemudahan untuk memajukan pendidikan dalam kalangan pelajar luar bandar. Beliau juga menasihati para ibu bapa agar mengambil berat tentang pendidikan anak-anak. Ibu bapa juga harus bersedia untuk bekerjasama dengan pihak sekolah agar segala program yang dijalankan oleh pihak sekolah berjalan dengan lancar.
Di samping itu, Guru Besar SK Nanga Meluan, Encik Thomas Legak ak Benjamin Legak mengucapkan penghargaan kepada para ibu bapa yang telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak sekolah. Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sk Nanga Meluan, pelbagai program telah berjaya dijalankan sepanjang tempoh persekolahan 2013. Kejayaan tersebut hasil kerjasama yang tidak berbelah bagi para ibu bapa dan pemimpin masyarakat di sekitar Nanga Meluan kepada pihak sekolah.

Majlis tersebut berakhir sekitar pukul 1.00 tengah hari.

Wednesday, 1 May 2013

Majlis Penyerahan Bantuan KWAPM, Tilam dan Bantal 1Malaysia



Dijadualkan berlangsung pada 3 Mei 2013, Majlis Penyerahan Bantuan KWAPM, Tilam dan Bantal 1Malaysia akan diadakan yang akan disempurnakan oleh Dato' Joseph Salang anak Gandum, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Majlis ini diadakan setelah pihak SK Nanga Meluan telah menerima bantuan Tilam dan Bantal 1Malaysia pada 25 April yang lalu. Pihak sekolah telah menerima 168 unit tilam yang berharga RM210.90  seunit dan 168 unit bantal yang bernilai RM30 seunit. Kesemua bantuan tersebut bernilai RM40,471.20. Bantuan ini sejajar dengan usaha pihak kerajaan yang ingin menambahbaik tahap kehidupan pelajar asrama khususnya dalam kalangan pelajar asrama di kawasan luar bandar. Tilam dan bantal ini akan diagihkan untuk kegunaan murid sebaik sahaja selesai majlis penyerahan ini. diharap para pelajar dapat menjalani kahidupan di asrama dengan lebih selesa dan membantu meningkatkan pencapaian mereka.

Friday, 26 April 2013

RAWATAN PERGIGIAN


Rawatan pergigian merupakan salah satu elemen penting dalam program kesihatan untuk pelajar sekolah. Justeru, pihak Klinik Kesihatan Bintangor, telah mengadakan program rawatan pergigian untuk semua murid di SK Nanga Meluan pada 22 hingga 26 April 2013. Program yang mengambil masa lima hari tersebut telah dijalankan dengan lancar dan jayanya hasil kerjasama erat pegawai-pegawai kesihatan Klinik Kesihatan Bintangor dan pihak sekolah. Aktiviti sampingan seperti ceramah kesedaran dan kelas belajar memberus gigi dengan teknik yang betul turut diadakan. Aktiviti seperti ini telah membantu meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan gigi dalam kalangan pelajar yang sebahagian besarnya tinggal di asrama. Jadi, dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang betul, para pelajar diharap dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian di asrama. Melalui kesempatan ini, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan Bintangor, Julau kerana telah menjaga kebajikan anak-anak kami di SK Nanga Meluan.  Sekian. Maju gigi untuk negara.






BULAN BAHASA MALAYSIA 2013



Pihak Panitia Bahasa Malaysia SK Nanga Meluan telah melancarkan Program Bulan Bahasa Malaysia pada 8 April 2013 yang lalu dengan temanya 1Bahasa 1Bangsa 1Negara. Program ini akan berlangsung selama lebih kurang sebulan dan akan berakhir pada 3 Mei 2013. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai aktiviti telah dirancang. Antaranya ialah Kuiz Bahasa Melayu, Eja Cepat, Pertandingan Teka Silang Kata, Pertandingan Membaca, Pertandingan Bercerita dan Pertandingan Membina  Ayat. Selain pelajar, Program Bulan Bahasa ini turut melibatkan penyertaan semua guru dan AKP dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Langkah ini diambil sebagai usaha untuk mewujudkan kerjasama erat antara guru dan AKP dengan pelajar. 
Peserta Kuiz BM

Barisan Hakim

Suasana Kuiz

Peserta Kuiz

Tuesday, 2 April 2013

900,000 kanak-kanak Denmark tidak sekolah semalam


COPENHAGEN 3 April - Sekurang-kurangnya 900,000 murid Denmark tidak bersekolah semalam selepas 60,000 guru sekolah rendah tidak dibenarkan masuk ke sekolah selepas berlaku pertikaian antara pihak Kesatuan Guru-guru Denmark dan Kerajaan Tempatan Denmark.
Kebanyakan guru berdiri di luar kebanyakan sekolah dengan memegang kain rentang ketika ibu bapa dan murid tiba di sekolah secara berperingkat-peringkat dengan 875,000 murid yang terjejas tidak ke sekolah ekoran konflik yang hanya akan berakhir dalam beberapa minggu lagi.
"Adalah tidak kena untuk bercakap tentang campur tangan kerajaan buat masa ini. Pertikaian itu mesti dibenarkan untuk berlangsung," kata Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning-Schmidt kepada media.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, 17 March 2013

Acara Pemilihan Pasukan Bola Sepak dan Sepak Takraw Zon Julau 2013


Pasukan bola Sepak SK Nanga Meluan 2013
Sepakan sudut yang menghasilkan gol
Pada 14 Mac 2013 yang lalu, acara pemilihan wakil bagi pasukan bola sepak dan sepak takraw telah diadakan di SK Nanga Lasi, Julau. Acara pemilihan tersebut telah diadakan menerusi pertandingan iaitu perlawanan bola sepak dan sepak takraw yang disertai oleh beberapa buah sekolah bagi kawasan Zon Julau. SK Nanga Meluan telah menghantar seramai 13 orang pemain bola sepak dan 3 orang pemain sepak takraw.
Pada acara pemilihan tersebut, sebanyak 6 pasukan bola sepak telah menghantar wakil iaitu SK Nanga Lasi, SK Nanga Serau, SK Ulu Sungai Naman, SK Nanga Meluan, SK St. Alphonsus dan SK Nanga Merurun. Manakala bagi acara sepak takraw hanya 4 buah pasukan yang menghantar wakil iaitu SK Nanga Lasi, SK St. Alphonsus, SK Nanga Meluan dan SK Nanga Serau.
Para Jurulatih sedang memberi taklimat
QRF6249
Dalam acara yang berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 06.00 petang itu, SK Nanga Meluan telah muncul juara bagi pertandingan bole sepak. Tempat kedua ialah SK Nanga Lasi manakala tempat ketiga ialah SK Nanga Serau. Manakala bagi acara sepak takraw, SK Nanga Lasi muncul Johan, SK Nanga Serau kedua dan SK Nanga Meluan tempat ketiga.
Guru Besar, Encik Thomas turut sama turun padang memberikan sokongan
Pencapaian pasukan bola sepak dan sepak takraw SK Nanga Meluan pada kali ini sangat membanggakan. Menurut jurulatih pasukan bola sepak SK Nanga Meluan, Encik Helly Anjie berkata, kejayaan ini merupakan kejayaan pertama SK Nanga Meluan muncul sebagai juara bagi acara bola sepak. Manakala bagi acara takraw, ini merupakan penyertaan pertama kali SK Nanga Meluan.
Seramai 6 orang pelajar SK Nanga Meluan telah dipilih untuk mewakili pasukan bola sepak Zon Julau bagi Pertandingan Peringkat Zon Julau nanti. Mereka ialah, Moses ak Pail, Jusstin Asan ak Ekoh, Justin Mut ak Ingkut, Kalai ak Engkulau, Maxswell Sengiang ak Liban dan Jeram ak Ambau. Manakala bagi pasukan sepak takraw, Kude ak Inya, Moses ak Pail dan Nicholas ak Saie telah dipilih mewakili Zon Julau. 
Pasukan bergambar kenangan dengan Wakil PPD, Encik Juti ak Ranti

Wednesday, 6 March 2013

SPPBS Dibuka Bermula 1 MAC 2013

Dimaklumkan bahawa SPPBS dibuka kepada SU Peperiksaan mulai 1 Mac 2013.
Sehubungan dengan itu, SU Peperiksaan perlu melaksanakan perkara-perkara berikut dalam tempoh 1 Mac 2013 sehingga 15 Mac 2013:
a. Mendaftar dan menjana kata laluan Pengetua/Guru Besar/Penolong Kanan ke SPPBS (kali pertama).
b. Mendaftar kelas dan menjana kata laluan Guru Kelas 2013 ke dalam SPPBS.
c. Mendaftar/Mengemaskini mata pelajaran dan menjana kata laluan Guru Mata Pelajaran 2013 ke dalam SPPBS.
* Menu Pengetua/Guru Besar/Penolong Kanan dan Guru boleh diakses mulai 15 Mac 2013setelah segala urusan Daftar Guru oleh SUP selesai.
-Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pengurusan Maklumat-

PENGENALAN E-FORM RPM-PBS 2013 VERSI 3.01


PENGENALAN E-FORM RPM-PBS 2013 VERSI 3.01

(Makluman: eForm RPM-PBS versi 3.0 telah ditarik balik dan digantikan dengan eForm RPM-PBS versi 3.01 kerana terdapat ralat minor untuk SMK dan SK. Cikgu-cikgu PBS sila muat turun semula versi terkini. Harap maaf atas ralat tersebut, dan terima kasih kepada rakan guru yang dapat mengesan kewujudan ralat.)