BACHOK 8 Julai - Seorang
guru penolong kanan maut ditembak sebanyak tiga das dari jarak dekat
ketika baru keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor dekat sini
hari ini, yang dipercayai kerana masalah hutang.
Dalam kejadian pukul 1.40 petang, mangsa, Hashim Mat Zain, 43, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Dosoh, dekat sini selepas selesai menjalankan tugas di sekolah tersebut.
Bagaimanapun ketika tiba di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari pintu pagar sekolah, mangsa yang juga guru penolong kanan hal ehwal murid sekolah itu ditembak dari jarak dekat dipercayai oleh seorang lelaki bermotosikal.
Difahamkan selepas terkena tembakan, beliau gagal mengawal kenderaan jenis Mercedes-Benz yang dipandunya sebelum terbabas ke halaman sebuah rumah yang terletak kira-kira 20 meter dari simpang berkenaan lalu merempuh tangga kediaman tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, mangsa menjalankan beberapa perniagaan antaranya balak, jualan langsung dan kontrak kantin sekolah.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek melepaskan empat das tembakan daripada senjata api jenis .38 dengan tiga daripadanya mengenai tubuh mangsa.
"Polis kini mendapatkan maklumat daripada pelajar dan guru di sekolah terbabit sekiranya ada menyaksikan kejadian itu," katanya.
Dalam pada itu, pemilik rumah tersebut, Siti Aminah Abdullah, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat zuhur sebelum terdengar bunyi empat das letupan dan beberapa ketika kemudian dia terdengar pula dentuman di bahagian hadapan rumahnya.
"Ketika itu saya baru rakaat pertama solat dan pada mulanya saya terdengar bunyi empat das letupan tetapi tidak menghiraukannya tetapi sebaik sahaja terdengar satu dentuman di hadapan rumah, saya menghentikan solat dan meluru ke bahagian hadapan.
"Sejurus membuka pintu, saya melihat sebuah kereta telah melanggar bahagian tangga rumah dan saya nampak seorang lelaki dalam keadaan tunduk," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Siti Aminah, dia yang ketakutan terus menjerit meminta bantuan jiran-jiran berhampiran sebelum orang ramai menghubungi pihak polis.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Mohamad Deris, 64, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah Siti Aminah dan secara tiba-tiba terdengar bunyi empat das tembakan.
"Pada mulanya saya menyangkakan bunyi letupan kanak-kanak yang bermain mercun namun selang beberapa ketika saya terdengar jeritan Siti Aminah dan terus bergegas ke tempat kejadian.
"Saya terus membuka pintu kereta mangsa dan ketika itu lelaki tersebut berada dalam keadaan tunduk di bahagian gear kereta. Saya lihat ketika itu dia masih hidup kerana tangannya bergerak dan saya sempat mengajarnya mengucap kalimah Syahadah sebelum beberapa saat kemudian mangsa tidak bergerak," katanya.
Kata Mohamad, dia tidak menyangka sama sekali mangsa ditembak sehinggalah mendapati ada kesan seperti tembakan di bahagian bahu kanan dan tiga lagi di dada.
Ujarnya, selain itu, cermin bahagian penumpang belakang sebelah kanan dan cermin bahagian pemandu juga pecah seperti ditembusi peluru.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan mangsa meninggalkan lima cahaya mata dan empat daripadanya hasil perkongsian dengan isteri pertama dan seorang lagi dengan isteri kedua.
Salah seorang isteri mangsa yang berada di tempat kejadian bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih sedih.
No comments:
Post a Comment