Saturday, 21 July 2012

Didenda RM2,000 akibat menumbuk guru besar hingga cedera



Posted on 
February 17, 2012, Friday
Sumber: The Borneo Post

KOTA KINABALU: Gara-gara marah anaknya tidak terpilih mengikuti tarian sempena Hari Kemerdekaan, seorang pesara penjawat awam didenda RM2,000 atau empat bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencederakan seorang guru besar.
Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Teck Sin, 48, selepas mengaku bersalah.
Peguam bela tertuduh, George Ngui memberitahu mahkamah anak guamnya merupakan seorang bekas anggota polis dan pernah dianugerahkan sijil daripada ketua polis atas perkhidmatannya dalam Jabatan Narkotik.
Tambahnya, tertuduh juga ada membuat kenyataan maaf secara terbuka pada 11 Februari lalu di dalam sebuah akhbar tempatan.
Menurutnya, ketika kejadian tertuduh tidak dapat mengawal kemarahannya kerana anaknya disingkirkan daripada mengikuti tarian. Oleh itu, pihaknya memohon bon berkelakuan baik.
Lim didakwa menyebabkan kecederaan dengan menumbuk pipi kanan seorang wanita, Ong Kooi Huang, 51, hingga bengkak pada 6 Ogos tahun lalu jam 8.45 pagi di kantin S.K Anglo Chinse, dekat Taman Lido, Luyang.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa ternampak tertuduh bertengkar dengan seorang guru lalu mendekati mereka.
Mangsa mendapati punca tertuduh bertengkar kerana anaknya tidak dipilih untuk mengikuti tarian sempena Hari Kemerdekaan. Dia cuba menjelaskan keadaan namun tertuduh tidak ingin mendengarnya.
Hal ini menyebabkan mangsa menyuruh guru berkenaan meneruskan latihan tarian dan tidak mengendahkan tertuduh. Tertuduh yang berang telah menumbuk mangsa sekali di pipi.
Peguam pemerhati Ram Singh dan YS Low yang mewakili mangsa, menyatakan pihak yang terjejas adalah pengadu (mangsa). Pengadu juga tidak menerima kenyataan maaf terbuka kerana akibat daripada kejadian itu, dia tidak dapat bertugas selama 10 hari.
Dia juga mempersoalkan mengapa selepas enam bulan barulah tertuduh membuat kenyataan maaf.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Cif Insp Lim Swee Beng memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan.

No comments:

Post a Comment