Sunday 30 June 2013

Aspek Penambahbaikan SPPBS 2013

Buat masa ini, Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) masih lagi belum dapat diakses kerana pihak KPM sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan untuk memantapkan lagi sistem ini. Antara aspek-aspek yang sedang ditambahbaik ialah:

1. Paparan kemasukan prestasi murid Mengikut Eviden - Senarai semua murid dan kemasukan prestasi di dalam satu paparan sahaja (wujudkan marksheet).
2. Guru Tingkatan (sekolah menengah) yang berdaftar dengan APDM akan terus mendaftar murid sekali sahaja ke dalam menu Non Akademik.
3. Penggunaan warna yang kontra bagi tanda “√” sebelum guru memasukkan prestasi dengan warna selepas kemasukan prestasi dilaksanakan.
4. Mewujudkan butang KEMASKINI dan BATAL pada menu Pengetua/Guru Besar/Penolong Kanan bagi tujuan pengemaskinian atau pembatalan prestasi murid.
5. Data pada menu Statistik yang boleh dimuat turun dan dieksport ke dalam format Excel.
6. Fungsi Daftar Guru Kelas pada Menu SU sekolah rendah untuk urusan pemantauan dan cetakan pelaporan oleh Guru Kelas.

Moga dengan proses penambahbaikan ini akan memudahkan urusan key-in online  para guru  khususnya guru Tahap 1 SK Nanga Meluan agar menjadi lebih mudah dan menyenangkan.

Thursday 20 June 2013

Kejohanan Balapan & Padang Pembangunan Zon Julau 2013

Kejohanan Balapan dan Padang Pembangunan 10 & 11 Tahun ke Bawah bagi Zon Julau 2013 telah diadakan di Kompleks Sukan Pakan pada 19 hingga 20 Jun 2013. Kejohanan pada kali ini telah dianjurkan oleh SK Ulu Sungai Naman.
Kontijen Meluan
Kejohanan ini disertai oleh 9 buah sekolah Zon Julau iaitu SK Nanga Meluan, SK Nanga Luau, SK Nanga Merurun, SK Nanga Kelangas, SK St. Alphonsus, SJK Yuk Kung, SK Nanga Lasi, SK Ulu Sungai Naman dan SK Nanga Serau.
Kontijen Meluan yang diketuai Pengurus Pasukan, Encik Juna Jelani terdiri daripada 19 orang murid, 4 orang pegawai pengiring dan 4 orang pegawai yang menjadi urusetia kejohanan.
Pada kejohanan kali ini, SK Nanga Meluan selaku juara bertahan sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan untuk tiga tahun berturut-turut. Naib Juara pula disandang oleh SK Nanga Luau manakala tempat ketiga ialah SK St. Alphonsus.
Taklimat oleh Pengurus Pasukan
Agatha, Peserta terbaik
Perempuan 10TKB
Kejohanan kali ini juga telah menyaksikan 12 orang atlet dari SK Nanga Meluan dipilih untuk mewakili Zon Julau ke pertandingan Peringkat Daerah Julau. Lebih membanggakan lagi seorang atlet daripada SK Nanga Meluan dipilih sebagai olahragawati bagi peringkat umur 10TKB iaitu adik Agatha ak Miskin.
Secara keseluruhannya pencapaian SK Nanga Meluan masih ditahap yang sangat memuaskan walaupun dalam beberapa acara terlepas sasaran pingat emas. Namun, SK Nanga Meluan masih lagi berjaya mengutip 13 pingat emas keseluruhan iaitu bertambah dua butir pingat emas berbanding 11 emas yang dikutip pada tahun lepas. Pada kejohanan kali ini juga SK Nanga Meluan berjaya menyapu 9 pingat perak dan 2 pingat gangsa dan mengumpul 173 mata keseluruhan.
Desiree Mayang, Johan Lontar
Peluru 11TKB
Dengan kejayaan ini, pihak sekolah mengucapkan ribuaan terima kasih kepada semua guru dan kakitangan sekolah yang telah menyumbang kepada kejayaan ini khususnya kepada jurulatih olahraga SK Nanga Meluan, Dato’ Encik Dominic Chungat dan Encik Juna Jelani. Terima kasih dan tahniah juga kepada Puan Penny Kristy dan Puan Christy Betty yang telah membimbing peserta Bintang Kecil sekolah ke Pertandingan Bintang Kecil bagi Zon Julau yang turut diadakan semasa kejohanan ini. Tidak lupa juga kepada guru-guru dan AKP yang sanggup datang ke Kompleks Sukan untuk memberi sokongan kepada kontijen sekolah.
Sekian, Meluan terbang tinggi lagi!


Monday 10 June 2013

Majlis Makan Malam PIBG 2013

Pada 10 Mei 2013 yang lalu, SK Nanga Meluan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah mengadakan Majlis Makan Malam PIBG bagi tujuan mengutip dana untuk tabung PIBG sekolah. Majlis itu telah diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen P209 Julau, Dato Joseph Salang ak Gandum, KPD Julau DSP Bidol Noyeng, Pengetua SMK Julau Encik Chritopher Kelebit, Wakil PPD Julau, Tuai-tuai rumah panjang dan para ibu bapa.
Majlis itu telah dihadiri oleh sekitar 400 orang tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar Nanga Meluan.
Pelbagai acara telah diatur pada malam tersebut. Antaranya ialah gerai jualan, acara memotong kek, sampul istimewa, cabutan tiket bertuah, suara emas, lagu dan ngajat sponsor, dan banyak lagi. Malah, pada sebelah petangnya telahpun diadakan pelbagai acara sukaneka.
Majlis Makan Malam PIBG pada malam tersebut boleh dikatakan sebagai sangat berjaya kerana berjaya mengutip dana sebanyak RM23, 548.60. Dana tersebut akan disalurkan ke dalam tabung PIBG SK Nanga Meluan. Dana tersebut akan membantu pihak sekolah untuk mengadakan dan membiayai pelbagai program pembangunan untuk para pelajar.
Kejayaan Majlis makan malam PIBG tersebut merupakan satu petanda bahawa para ibu bapa di Nanga Meluan sentiasa memberikan sokongan kepada pihak sekolah untuk membantu meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pendidikan. Sokongan daripada pemimpin masyarakat (tuai rumah) juga sangat baik. Kejayaan ini merupakan satu langkah ke arah memperkasakan PIBG SK Nanga Meluan sebagai salah satu badan yang aktif dalam membantu pendidikan anak-anak di Meluan.

Akhir sekali, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada malam tersebut. Sekian, terima kasih.



Majlis Penyerahan Bantuan KWAMP dan Tilam & Bantal 1Malaysia 2013

Pada 3 Mei 2013, Satu Majlis Penyerahan Bantuan KWAMP dan Tilam dan Bantal 1Malaysia telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen P209 Julau iaitu Dato’ Joseph Salang ak Gandum di Dewan Besar SK Nanga Meluan.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh para ibu bapa di beberapa buah panjang di sekitar Nanga Meluan.
Aktiviti yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu menyaksikan sebanyak 180 unit tilam dan 180 unit bantal 1Malaysia telah diagihkan untuk kegunaan pelajar-pelajar asrama SK Nanga Meluan. Kesemua bantuan tersebut berjumlah RM40,471.20.
Dato' Joseph Salang menyerah bantal sebagai tanda
simbolik kepada salah seorang pelajar
Dalam majlis itu juga, Dato Joseph Salang turut mengagihkan bantuan KWAMP bernilai RM200 bagi setiap orang murid yang layak. Dato Joseph Salang telah mengingatkan para ibu bapa supaya menggunakan bantuan-bantuan tersebut sebaik mungkin untuk perkembangan pendidikan anak-anak. Kerajaan juga menurut beliau sedang dan akan berusaha untuk membantu meningkatkan pendidikan dalam kalangan pelajar khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar. Pelbagai bantuan telah dan akan disalurkan oleh kerajaan melalui pihak sekolah seperti bantuan susu 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, bantuan E-Kasih, Skim Pinjaman Buku Teks, KWAMP dan pelbagai lagi kemudahan untuk memajukan pendidikan dalam kalangan pelajar luar bandar. Beliau juga menasihati para ibu bapa agar mengambil berat tentang pendidikan anak-anak. Ibu bapa juga harus bersedia untuk bekerjasama dengan pihak sekolah agar segala program yang dijalankan oleh pihak sekolah berjalan dengan lancar.
Di samping itu, Guru Besar SK Nanga Meluan, Encik Thomas Legak ak Benjamin Legak mengucapkan penghargaan kepada para ibu bapa yang telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak sekolah. Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sk Nanga Meluan, pelbagai program telah berjaya dijalankan sepanjang tempoh persekolahan 2013. Kejayaan tersebut hasil kerjasama yang tidak berbelah bagi para ibu bapa dan pemimpin masyarakat di sekitar Nanga Meluan kepada pihak sekolah.

Majlis tersebut berakhir sekitar pukul 1.00 tengah hari.